Keris, Nadim dan Badang: simbol persenjataan dan pertahanan dalam karya sastera melayu Singapura

Dublin Core

Title

Keris, Nadim dan Badang: simbol persenjataan dan pertahanan dalam karya sastera melayu Singapura

Description

Memiliki senjata tradisional seperti keris, kerambit atau badik tidak lagi menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat Melayu di kota Singapura. Namun, senjata-senjata ini acap kali diungkap dalam karya sastera para penulis Singapura sebagai simbol perjuangan bangsa. Citra persenjataan juga sering digandingkan dengan perlambangan wira-wira klasik seperti Nadim dan Badang untuk menyalakan semangat atau sekadar mencetuskan persoalan. Sajak-sajak seperti “Sumpah Hang Nadim” oleh Hamed Ismail, “Nadim” oleh Rasiah Halil dan “Singapura Melanggar Todak” oleh R. Azmann A. Rahman membangkitkan isu tentang identiti dan warisan bangsa. Manakala, sajak-sajak “Tekad” dan “Anakku” hasil karya Mohamed Latiff Mohamed menyeru generasi muda Melayu agar tidak meluputkan adat dan budaya sendiri. Djohan A. Rahman pula sengaja menyisipkan unsur keris sebagai latar dalam cerpennya “Sidang”, bukan sahaja sebagai elemen seni pertahanan diri, tetapi juga sebagai lambang kekusaman nilai-nilai bangsa.

Dalam cerpen “Koperal Badrul Awang” pula, Mohamed Naguib Ngadnan menyajikan sebuah cereka futuristik yang berlandaskan pengalaman berkhidmat dalam tentera Singapura. Makalah ini bertujuan untuk menyingkap maksud dan simbol di sebalik penggunaan senjata dan wira tradisional dalam karya sastera moden hasil para penulis muda dan mapan di Singapura.

Creator

Farihan Bahron

Source

Farihan Bahron. (2 Ogos 2019). Keris, Nadim dan Badang: simbol persenjataan dan pertahanan dalam karya sastera melayu Singapura. Kepala Mancis. http://farihan.ungguncreative.com/keris-nadim-dan-badang/

Publisher

Kepala Mancis

Date

2 Ogos 2019

Identifier

nfdbf

Text Item Type Metadata

Text

Keris dianggap sebagai artifak kebudayaan terunggul yang mencerminkan jati diri orang Melayu. Senjata tajam yang dikenali juga sebagai senjata tikam ini dipercayai mula disebarkan dari Pulau Jawa ke seluruh gugusan kepulauan Nusantara ekoran penemuan gambar-gambar keris buda yang terpahat pada candi-candi di Jawa Tengah dan Jawa Timur sekitar awal abad ke-8. Pada awalnya, keris berfungsi sebagai alat pertahanan diri dalam pertarungan disebabkan oleh bentuk dan kelasakan besinya, namun penggunaan keris pada abad ke-21 ini lebih berperanan sebagai alat keramat yang dihormati, lambang kuasa atau kedudukan dan suatu cabang seni bagi sesetengah pihak.

Menurut Khairi Johari, seorang pengumpul yang memiliki sekitar 400 bilah keris, generasi muda di Singapura kurang menunjukkan minat yang mendalam dalam kesenian ini. Mereka beranggapan bahawa mengumpul keris adalah hobi ‘orang-orang tua’ ataupun mereka perlu belajar bersilat dahulu sebelum menggunakan keris. Budaya menempa keris juga telah pupus di Singapura apabila antara satu-satunya pembuat keris di negara ini, iaitu, Gandu Mohd Kassim, dipercayai telah meninggal dunia. Beliau berusia 85 tahun sewaktu kali terakhir diwawancara pada tahun 1984.